BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 1 Jun 2009

Apakah yang dikatakan Konsep "1 Malaysia"

Marilah kita sama-sama huraikan apakah nilai -nilai positif yang boleh kita jadikan panduan melalui konsep yang diperkenalkan oleh DS Najib. Bukakan minda tanpa menyelitkan ideologi Parti . Renung sejenak dengan hati yang bersih dan telus.

Terdapat 8 nilai utama yang diterapkan dalam konsep 1 Malaysia :

1- Budaya Kecemerlangan
Dalam nilai ini penekanan diberikan dari segi pengukuran, menguruskan masa, jadual penyampaian dan dari segi kualiti. Disamping itu kepimpinan berasaskan prestasi juga dititikberatkan agar seseorang itu mempunyai matlamat khusus agar prestasi dapat diukur.

2- Ketabahan

Adalah nilai yang merujuk kepada hati. Tabah membawa makna cekal,tetap hati, kuat semangat, berusaha dan sanggup menghadapi cabaran dengan tekun, sabar dan penuh ikhtiar. Jika nilai ini menjadi budaya hidup rakyat Malaysia maka kita tidak akan kecewa untuk melihat negara ini maju menjelang tahun 2020 !

Walau apa pun cabaran yang mendatang kita tidak mudah mengaku kalah . Al-Quran menyebutnya dengan Firman Allah SWT dalam surah Al_Insyirah : ayat 7 :

"Maka apabila kamu telah selesai (dari satu urusan) kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain"

Malaysia sebagai sebuah negara yang telah berhadapan pelbagai krisis sebelum ini, samada krisis kewangan, menentang komunis @ berhadapan dengan waktu-waktu bergolak dalam sejarah tetapi telah berjaya mengharungi semua krisis dan bangkit sebagai sebuah negara yang kuat.
Ini berkat daripada ketabahan dan kegigihan dalam menghadapi segala rintangan. Sebagai rakyat Malaysia yang tercinta ini kita perlu berusaha lebih daripada biasa demi membuktikan keupayaan diri.

3- Rendah Hati
Tawadhu' juga merupakan nilai yang lahir dari rasa insaf, simpati yang menyebabkan kita jadi bersopan, tidak sombong dan tidak merasa lebih dari orang lain. Nilai ini menjadikan kita tahu bergaul dengan segala tingkat masyarakat dengan tertib, tidak membeza darjat orang dan akhirnya boleh menimbulkan rasa persaudaraan, kasih mengasihi dan menghargai orang lain.

Sabda Rasulullah saw :

" Allah mewahyukan supaya kamu sekalian bersifat rendah hati (tawadhu'). Janganlah berlaku kasar dan menyombongkan diri terhadap orang lain"

Nilai ketiga ini lebih difokuskan kepada pemimpin politik. Ahli politik perlu rendah hati kerana masyarakat kita hari ini lebih cenderung kepada pemimpin yang rendah hati. Berbeza pula apabila berurusan dengan dunia luar pemimpin haruslah memperlihatkan kekuatan dan kemampuan tetapi bukan dengan cara penindasan. Ada sesetengah masyarakat memandang sifat rendah hati sebagai kelemahan. Oleh itu kita hendaklah menyesuaikan diri mengikut keadaan.

4- Penerimaan
Maksud penerimaan adalah menerima sepenuhnya secara positif. Ia merupakan ice breaking atau pembuka jalan kepada perpaduan.Disini kita tidak lagi bercakap tentang toleransi kerana penerimaan dan toleransi mempunyai konotasi yang sedikit berbeza. Secara psikologi jika seseorang itu menerima ia dapat dirasai lebih mesra, tulen dan terbuka.Prinsip keadilan sosial adalah satu prinsip yang digariskan jelas dalam Islam. Firman Allah swt : Al maidah ayat 8
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa mengakkan keadilan kerana Allah bagi mnerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap itu lebih hampir kepada taqwa. Bertaqwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui degan mendalam apa yang kamu lakukan.

5- Kesetiaaan
Satu aspek penting dalam kehidupan terutama dalam perhubungan sesama manusia. Setia kepada negara membawa seseorang sanggup berbakti dan berkorban demi negara yang tercinta. Orang yang setia tidak akan berpaling tadah, tidak khianat dan tidak melakukan sesuatu yang merugikan negara. Warga yang setia akan menyokong perpaduan, membenci apa saja yang merosakkan negara. Biasanya warga yang setia sarat dengan nilai patriotisme.Kesetiaan pada tanah air tidak dilarang dalam agama. Nabi-nabi dan rasul pun cintakan tanah airnya. Nabi Muhammad mendoakan negaranya agar aman damai.
Firman Allah yang bermaksud : Al Baqarah :126

" Ya Allah jadikanlah negeri ini aman damai, Berilah penduduknya rezeki berupa buah-buahan"


6- Meritokrasi

Pada asasnya bermakna memberi sesuatu kepada yang layak dan berhak. Dalam konteks Malaysia ia mesti berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan dasar negara yang sedia ada. Meritokrasi perlu diamalkan dalam konteks memberi tanggungjawab kepada pihak yang mampu menunaikan amanah serta tanggungjawab yang diberi. Contohnya meritokrasi dilaksanakan dalam syarikat bumiputera agar mereka dapat bersaing untuk berjaya.

7- Pendidikan
Untuk mencapai kejayaan pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat yang penting.Pendidikan pula mestilah disepadukan dengan nilai. Masyarakat malaysia mesti mengamalkan budaya membaca supaya minda masyarakat terbuka.Disamping itu kita haruslah membangkitkan semangat generasi muda Malaysia untuk meneruskan perjuangan. Pastikan generasi muda mendapat pendidikan agar mereka akan menjadi masyarakat yang paling bijak dan terbaik serta berupaya bersaing di pasaran global.
Pada masa yang sama jangan kita lupa bahawa bersatu akan menjadikan kita lebih kuat . Kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama menjadi asas kejayaan ekonomi dan sosial .

8- Intergriti
Intergriti adalah pelengkap 8 set nilai konsep 1 Malaysia. Ia adalah alat utama untuk memastikan prinsip didukung dan janji ditepati. Ia membawa maksud kualiti seseorang yang memiliki prinsip akhlak (moral) yang tinggi, utuh,teguh seperti amanah, jujur dan berani bertaggungjawab dalam melaksanakan sebarang tugas-tugas yang diberikan. Orang yang memikul tanggungjawab dengan penuh intergirti sentiasa disenangi dan dihormati oleh orang lain.

0 ulasan: