BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 21 Julai 2009

KONTRAK SOSIAL


Apabila kita membicarakan isu berkaitan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan kita tidak boleh lari dari membincangkan asas kewujudan peruntukan ini yang berasaskan kepada persetujuan semua kaum dengan apa yang dinamakan "kontrak sosial". Formula kontrak sosial yang telah dipersetujui pada ketika negara mencapai kemerdekaan 52 tahun yang lalu telah diterjemahkan dalam artikel 153 Perlembagaan persekutuan.


Apakah sebenarnya Kontrak Sosial itu? Kontrak menurut maksud sebenar merupakan satu perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Manakala "sosial" pula membawa maksud segala yang bersangkut -paut dengan masyarakat dan soal kemasyarakatan.

Kita telah melihat bagaimana rundingan dan penulisan perlembagaan dilakukan. Kita telah melihat peruntukan-peruntukan yang janggal yang berpunca dari tolak ansur golongan Melayu dan bukan Melayu. Sejarah mencatatkan betapa orang Melayu tidak dapat menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara. Ini hanya dapat diimbangi dengan pengekalan kedudukan dan hak tertentu untuk orang-orang Melayu.Tolak ansur inilah yang nampaknya mendominasi wacana kontrak sosial di Malaysia.

Sesuai dengan namanya kontrak sosial bukanlah sesuatu yang bertulis sebagaimana dokumen perjanjian. Tidak timbul soal sama ada ia mengikat generasi yang ada sekarang atau sebaliknya. Kontrak sosial bukan isu undang-undang . Ia adalah isu politik, falsafah dan seumpamanya yang memerlukan penyelesaian di lapangan politik. Kontrak sosial tidak harus dilihat sama dengan kontrak membeli rumah. Tetapi ia adalah sebuah teori atau falsafah politik yang melatari peruntukan-peruntukan tertentu perlembagaan.

Adalah penting bagi ahli-ahli Parlimen, anggota pentadbiran dan para hakim memahami hakikat berkenaan.Amat malang apabila ada anggota kabinet sendiri, sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Dr Lim Kheng Yaik tidak lama dulu yang mempersoalkan kewujudan kontrak sosial. Begitu juga anggota dari Sabah yang mempersoalkan kedudukan Islam.

Ada juga pihak yang menyinggung konsep ini tanpa menyebutnya dengan jelas. Mempersoal kedudukan Islam, kuasa mahkamah syariah dan sebagainya juga secara tidak langsung boleh dikatakan tidak memahami asas kontrak sosialdalam perlembagaan kita.

Soal kedudukan Islam apa yang ada dalam perlembagaan hari ini adalah sekadar pengekalan dan penerusan sesuatu yang telah wujud sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Oleh sebab itu tidak munasabah untuk dipertikaikan apatah lagi hendak dimansuhkan. Perkara 121(A) mengenai perlindungan kuasa mahkamah syariah dari campurtangan mahkamah sivil, meskipun hanya dimasukkan pada 1988, intipati Perkara 121 (A) sudah berada dalam sistem itu lama sebelum itu.

Mengenai kedudukan istimewa Melayu pula kita harus meneliti peruntukan di bawah Perkara 153 yang sebenarnya cukup fleksibal : ia tidak berhasrat hendak mencipta satu bentuk rejim apartheid yang menindas. Sebaliknya ia hendak menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tanpa menindas kepentingan kaum-kaum lain. Begitu juga mengenai Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Isu hak samarata yang cuba diketengahkan samada kita sedari atau tidak telah membangkitkan kegelisahan dan ketegangan dikalangan kaum sejak kebelakangan ini. Isu ini tidak harus dibangkitkan sekiranya setiap individu warganegara malaysia lebih bertanggungjawab dan merenung kembali sejarah pembentukan negara dan kewujudan perlembagaan.( baca artikel 153 perlembagaan persekutuan ).

Kepada pihak-pihak yang cuba menhancurkan dan merosakkan keamanan yang ada diharap agar kembali dan akur kepada peruntukan undang-undang yang telah sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana hanya itulah caranya untuk menangkis pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum....

0 ulasan: