BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 6 Julai 2009

Syabas Najib !

PUTRAJAYA, 6 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mengumumkan Bidang Keputusan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara yang akan menjadi keutamaan kerajaan bagi tempoh beberapa tahun akan datang, dalam masa terdekat.

"Ini merupakan satu pendekatan yang akan memberi nafas baru dalam usaha kita membawa negara ke tahap yang lebih berjaya lagi," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Najib bagaimanapun berkata beliau tidak bercadang untuk menghuraikan apa yang termaktub sebagai KRA dan KPI, yang akan menjadi kaedah pembaharuan dalam cara untuk mentadbir negara, pada hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mahu hubungan dan perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk menjayakan agenda negara.

Selain pentingnya perkongsian di antara sektor awam dan sektor swasta, beliau berkata perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam perlu mantap dan serasi kerana yang akan mendapat faedah ialah rakyat dan negara.

"Jika kita menyorot kembali sejarah negara, kejayaan membawa pembaharuan atau menyelesaikan apa jua krisis negara, ia tetap bersandar kepada hubungan istimewa antara pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam.

"Sebab itulah sebagai langkah ke hadapan, saya nak menekankan semula betapa pentingnya hubungan ini diperkukuhkan lagi, lebih-lebih lagi dalam masa terdekat, saya akan membentangkan National Key Result Areas (Bidang Keputusan Utama Nasional) dan National Key Performance Indicators (Petunjuk Prestasi Utama Nasional)," katanya.

Najib berkata perkongsian itu mesti sampai kepada hubungan "semangat dan perasaan" iaitu anggota perkhidmatan awam mempercayai bahawa agenda kerajan adalah terbaik untuk negara.

"Saya harap perkongsian dan hubungan ini tidak merupakan hubungan formal sahaja, di antara menteri dengan Ketua Setiausaha Negara atau Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai tinggi dan sebagainya tetapi lebih daripada itu," katanya.

"Itulah kemuncak kepada hubungan di antara perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan. Ini bukan sekadar mengenai menang pilihan raya umum akan datang, tapi jangan bagi kita kalah, ia lebih daripada itu. Ia mengenai transformasi, mentransformasikan Malaysia," katanya.

Beliau berkata dalam usaha untuk menjadi negara maju atau negara berpendapatan tinggi, ia adalah bergantung kepada sejauh mana hubungan perkongsian itu dapat menterjemahkan agenda kerajaan dalam erti kata yang sebenar dan mahu ia dijadikan sebagai satu komitmen.

Najib berkata transformasi bukan semata-mata pembaharuan tetapi perubahan, kerana pembaharuan boleh jadi luaran sahaja dan berdikit sebaliknya transformasi adalah pembaharuan bersifat holistik dan menyeluruh.

"Inilah perjalanan kita dan saya harap perkhidmatan awam dan pentadbiran kerajaan berganding bahu dalam perjalanan ke arah destinasi yang lebih bermakna untuk negara tercinta," katanya.


POYOSEDE COMMENT :

Congratulation DS Najib ! Saya rasa bangga jika apa yang dihasratkan oleh Najib menjadi kenyataan. Jika kita lihat hari ini ramai anggota kerajaan tak kira pangkat tinggi atau rendah yang tidak menyokong kerajaan malah mereka ini menjadi duri dalam daging. Mereka juga yang memusnahkan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

Saya sangat bersyukur menjadi salah seorang anggota kerajaan. Syukur yang tak terhingga kepada Allah SWT kerana telah memberi rezeki melalui perantaranya iaitu kerajaan Malaysia. Saya harap semua anggota kerajaan ubah sikap dan lebih komited terhadap kerja yang diamanahkan.....

0 ulasan: