BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 21 Julai 2009

DERITA YANG TIDAK KU PINTA




Rencana ini adalah bahagian dua daripada siri rencana mengenai isu sosial yang memberi fokus kepada kanak-kanak.

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Nasib yang menimpa Ina (bukan nama sebenar) boleh diibaratkan seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga'.

Usia remajanya dicemari noda angkara ayah tiri yang memperkosanya, bukan sekali tetapi berkali-kali.

Ketika itu dia baru berusia 12 tahun dan sewaktu kejadian, ibunya sedang sakit tenat di hospital.

Takut kerana diugut, Ina membuat keputusan untuk merahsiakan perbuatan terkutuk yang dilakukan oleh ayah tirinya itu yang juga pernah mengambil najis dadah.

"Ina hanya mampu menangis. Ina tak boleh terima ayah tiri perkosa Ina dan Ina tak pernah beritahu emak. Ayah tiri ugut Ina dan Ina tak sampai hati nak beritahu emak memandangkan emak masa itu sakit tenat.

"Ina juga tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran sebab amat kecewa dan benci dengan perbuatan ayah tiri Ina. Ina hanya sempat ambil Peperiksaan Menengah Rendah (PMR)," Ina meluahkan perasaannya kepada Bernama.

Penderitaan Ina tidak berakhir di situ kerana dua tahun selepas peristiwa hitam itu, doktor mengesahkan yang dia dijangkiti HIV (Human Immunodeficiency Virus).

KUATKAN SEMANGAT

Menurut Ina yang kini berusia hampir 19 tahun, dia sudah pasrah dengan nasib malang yang menimpanya.

Dia juga semakin tabah meneruskan kehidupannya meskipun tubuhnya terpaksa bertarung dengan virus yang menjadi punca penyakit yang masih belum ada penawarnya iaitu AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit).

"Masa mula-mula dapat tahu Ina menghidap HIV, memang Ina tak boleh terima. Ina sedih dan rasa hidup tak bermakna tapi sekarang Ina sudah redha dengan apa yang berlaku.

"Ina kuatkan semangat demi adik-adik. Mereka tidak ada sesiapa lagi. Mungkin ramai lagi yang menjadi mangsa keganasan keluarga seperti yang berlaku kepada Ina," tambahnya.

Ibu Ina menghembuskan nafas terakhir pada 2004. Ayah tirinya pula meninggal dunia akibat AIDS tidak berapa lama kemudian. Ayah kandungnya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 1996.

Ternyata bukan mudah untuk anak yatim piatu ini meneruskan perjalanan hidupnya dengan bayangan peristiwa hitam yang merenggut kegadisannya. Apa tah lagi, dia kini termasuk dalam golongan orang yang hidup dengan HIV (OHH).

Ina berkata ada ketika ingin sahaja dia melarikan diri dari kampung untuk melupakan kepahitan hidup yang terpaksa ditelan sendirian.

Namun, keadaan emaknya di hospital ketika itu serta ingatan kepada adik-adiknya yang masih memerlukan belaian seorang kakak, membuatkan dia bangkit dari kedukaan dan menghimpun kekuatan untuk meneruskan kehidupan di sebalik onak dan duri yang terpaksa ditempuhinya.

DISISIH KELUARGA

Orang yang hidup dengan HIV dan AIDS bukan sahaja disisih masyarakat tetapi juga anggota keluarga sendiri. Stigma dan diskriminasi ini masih menebal dan begitu menjejaskan emosi serta kehidupan OHH.

Begitulah juga dengan Ina. Dia tidak mendapat sokongan padu keluarga yang amat diperlukan untuk mengurangkan penderitaan yang terpaksa ditanggungnya dalam usia yang begitu muda.

Ina juga memberitahu bahawa dia terpaksa merahsiakan status penyakitnya daripada rakan-taulan kerana bimbang dipinggirkan mereka.

"Tidak semua yang menghidap HIV atas kesalahan mereka sendiri. Ada yang menjadi mangsa keadaan. Bagi orang yang tidak tahu, mereka akan kata semua yang dapat penyakit ini jahat.

"Bagaimana pula jika kanak-kanak bawah umur yang tidak mampu berbuat apa-apa diperkosa, diugut dan kemudian dijangkiti HIV?" soal Ina.

Ketika berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu, dia banyak menerima dorongan dan semangat daripada para doktor yang merawatnya.

Menurut Ina, dia juga dapat banyak kaunseling yang diberi oleh Zaimah Hussin, bendahari Pertubuhan Masyarakat Prihatin Kota Baharu (Prihatin).

JADI CONTOH

Bercakap tentang Ina, Zaimah yang membahasakan dirinya "Kak Mah" berkata beliau kagum dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh Ina.

"Semasa Ina dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu, dia berada dalam keadaan kritikal. Jumlah CD4 (limfosit iaitu sejenis sel darah putih) Ina cuma 3 sedangkan untuk orang biasa, kiraan CD4 adalan antara 600 hingga 1,200.

"CD4 ini penting untuk menahan jangkitan dari luar seperti askar untuk melawan musuh. Di saat itu dia tidak boleh bergerak dan mengalami dehidrasi. Paru-parunya juga mengandungi kuman dan mulutnya dipenuhi fungus. Dia tidak boleh menelan. Keadaannya memang teruk.

"Dia juga fobia untuk bercakap. Nak dengar suara dia memang susah. Dia juga fobia melihat orang," kata Zaimah.

Selepas dibenarkan keluar dari hospital, Ina tinggal sementara bersama Zaimah sebelum dimasukkan ke sebuah rumah anak yatim dan kemudiannya tinggal di rumah perlindungan Prihatin.

Zaimah terus memberikan kaunseling kepada Ina untuk menguatkan semangat remaja ini. "Saya beritahu Ina dia perlu melawan kelemahan perasaan dan ingatkan dua adiknya yang memerlukan penjagaan seorang kakak.

"Salah seorang adiknya mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan kini belajar di sekolah berasrama penuh. Bilangan CD4 Ina juga sudah bertambah kepada lingkungan 900 sekarang," jelas Zaimah.

Menurut beliau, Ina juga kini aktif menjadi penceramah dalam program Prihatin dan secara terbuka dia akan memberitahu status HIVnya.

"Saya memang kagum dengan Ina. Dia kini menjadi lebih periang dan matang. Ina juga menjadi model contoh untuk kaum wanita terutama mereka yang menghidap HIV," tambah Zaimah.

BUKAN KES TEPENCIL

Yang pasti kes Ina bukan kes terpencil. Ini diakui sendiri oleh Zaimah. Menurut beliau, kebanyakan yang terlibat tidak mahu membuat laporan termasuk laporan polis kerana takut maruah keluarga akan terjejas.

Kebanyakan mangsa, katanya, akan menderita dalam senyap. "Inilah penyakit yang sedang menular dalam masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu," katanya.

Menerusi program remaja yang dikendalikan oleh Prihatin, Zaimah berkata pihaknya dapat mengesan banyak kes yang melibatkan keganasan keluarga yang turut memberi impak buruk terhadap anak-anak.

"Kami mendapati ada anak gadis yang menjadi liar kerana mereka bosan tinggal di rumah. "Mereka juga mahu lari daripada keganasan yang dilakukan oleh bapa mereka. Tidak cukup isteri, bapa ini masuk pula ke bilik anak dan tergamak memperkosa anak sendiri," jelas beliau.

Zaimah ialah pengasas Prihatin yang memulakan operasi secara rasmi pada Ogos 2004. Ketika mengambil inisiatif untuk menubuhkan Prihatin, beliau berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu.

Kumpulan sasar utama Prihatin ialah ibu tunggal yang kematian suami. Menurut Zaimah, pihaknya kini mengendalikan 387 orang ibu tunggal dan 702 orang kanak-kanak di mana 285 orang dijangkiti HIV.

Kanak-kanak yang dijangkiti HIV itu, jelasnya, kebanyakan mendapat virus itu daripada ibu mereka sewaktu dalam kandungan lagi.

Zaimah memberitahu bahawa mereka yang dijangkiti HIV di Kelantan dan Terengganu termasuk penagih najis dadah, nelayan dan pemandu lori treler.

"Untuk nelayan laut dalam, bila kapal berlabuh, ada perahu yang menghantar pekerja seks dari negara jiran. Mereka ini kemudian memindahkan virus ini kepada isteri menerusi hubungan kelamin.

"Ada juga isteri yang kematian suami kemudian berkahwin dengan anak teruna dan memindahkan HIV kepada suami. Kes seperti ini banyak di Kelantan," jelasnya.

TEKANAN EMOSI DAN KEHIDUPAN

Zaimah yang sudah 32 tahun bertugas sebagai jururawat menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai pelbagai program untuk menangani emosi anak-anak yang berdaftar dengan Prihatin.

"Kami tidak bimbang sangat dengan anak-anak yang dijangkiti HIV kerana ada rawatan susulan di hospital. Untuk anak-anak HIV di bawah Prihatin, kami sering buat susulan yang konsisten dengan pakar perunding penyakit ini. Di Kelantan, kami ada dua pakar ini.

"Yang kami lebih bimbang adalah anak-anak yang ibu mereka menghidap HIV," tambahnya.

Menurut beliau, menerusi program dengan anak-anak yang ibu mereka OHH, pihaknya dapat mengesan impak emosi melampau yang ditanggung anak-anak itu.

"Anak-anak itu diberi kertas kosong dan kami menyuruh mereka meluahkan perasaan mereka. Ada yang menulis mereka benci emak mereka dan mendendami ayah mereka kerana kedua-duanya telah menyebabkan mereka disisih masyarakat," kata Zaimah yang kini bertugas sebagai jururawat kaunselor HIV dan AIDS di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Beliau turut merujuk kepada beberapa kes kaunseling yang dikendalikannya. Antaranya kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang terjerumus ke lembah pelacuran semata-mata untuk membantu menyara keluarganya.

"Ibu remaja ini menghidap HIV dan ayahnya sudah meninggal dunia. Keluarga lain tidak membantu. Jadi, untuk nafkah hidup, dia menjadi pekerja seks. Dia tidak menggunakan kondom untuk mendapat bayaran yang lebih tinggi. Sekarang dia menghidap HIV. Kes anak ini satu tamparan hebat buat Kak Mah," tambahnya.

Satu lagi kes, katanya, melibatkan seorang remaja lelaki yang tidak bersekolah dan bekerja untuk membantu keluarga.

"Anak ini dieksploit, dipaksa mengangkat barang berat hanya untuk mendapat upah RM1. Ini boleh disamakan seperti kes buruh kanak-kanak," jelas Zaimah.

PERLU UBAH SIKAP

Menurut Zaimah yang sudah 17 tahun membabitkan diri dalam Prihatin, masyarakat Malaysia perlu lebih prihatin kepada isu HIV dan AIDS serta OHH.

OHH, katanya, tertekan kerana bukan sahaja disisih masyarakat tetapi yang lebih berat ialah disisih keluarga sendiri.

"Ini sangat ketara. Ada kes ibu tunggal yang disingkir keluarga mentua selepas suami meninggal. Anak lima orang. Ke mana nak pergi. Pada mulanya mereka tidur di masjid.

"Ada juga kes bukan sahaja tak ada rumah, tak ada juga wang. Kalau masyarakat tahu seorang daripada anggota keluarga menghidap HIV, mereka akan disisih masyarakat. Kalau dia menjual kuih, tiada siapa yang akan membeli kuihnya dan jika dia tukang jahit, tiada siapa lagi yang mahu membuat tempahan.

"Stigma dan diskriminasi masih menebal. Di setiap negeri ada kes HIV dan AIDS. Sekarang kita perlu penyelesaian khususnya untuk mencegah anak-anak daripada menjadi mangsa HIV dan AIDS," tambahnya.

Beliau berkata program kaunseling Prihatin mengutamakan kaunseling keluarga di mana pihaknya akan memberi penjelasan kepada ibu bapa, anak-anak atau adik-beradik OHH juga rakan-rakan mereka.

Katanya, pada peringkat awal, sememangnya ramai yang tidak memahami banyak perkara mengenai HIV dan AIDS tetapi selepas diberi penjelasan termasuk kaedah transmisi HIV, pihak berkenaan boleh menerima penjelasan.

Beliau juga meminta mereka yang menghidap HIV supaya tampil mendapatkan rawatan memandangkan sekarang terdapat rawatan canggih dan masih percuma.

OHH, katanya, juga perlu mendapat kaunseling supaya mereka boleh meneruskan kehidupan dengan pendirian yang lebih positif untuk hidup yang lebih berkualiti.

Mengenai pembabitannya dalam Prihatin, Zaimah memberitahu bahawa beliau akan memperjuang isu HIV dan AIDS bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di negeri-negeri lain di Malaysia. Buat permulaan, Prihatin sudah membuka cawangan di Terengganu.

"Saya tidak akan pernah berputus asa untuk meneruskan kerja-kerja saya. Kalau saya tak ada pun Prihatin akan terus ada dan akan terus bergerak dan akan menjadi nadi utama memperjuang isu HIV dan AIDS bukan sahaja di Kelantan," tegasnya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Prihatin di nombor 09-7787172.

POYOSEDE COMMENT : Saya rasa tersentuh tatkala membaca tulisan ini.. hari ini kita sibuk dengan isu politik yang tiada penghujungnya, disana ada insan yang menderita.. Rasa bersyukur tidak terhingga aku dilahirkan dalam keluarga yang penuh keperihatinan dan kasih sayang. Saya ingin menyeru kepadaseluruh masyarakat agar lebih peka terhadap keadaan sekeliling agar kes seperti dapat diatasi..

3 ulasan:

dzymory berkata...

Ya Allah ..sungguh sedih apa yg dipaparkan dalam buku cerita ni..dah penat saya membaca .endingnya cuma 4 baris.walau apa pun tahniah la atas keperihatinan anda....

Puakumbu berkata...

Tahniah di atas keprihatinan memaparkan cerita Ina....Sungguh sedih dan amat bersimpati...

Namun yang menghairan cerita sebegini banyak timbul di Kelantan. Negeri Tok Guru....

Tok Guru sering berkata bhw Kelantan Negeri "Serambi Mekah". Kelantan juga diperintah dengan hukum Islam sepenuhnya...

Tapi itu hakikat sebenarnya. Masalah judi, maksiat, penzinaan,laga ayam, minum arak masih banyak berlaku hatta di Kota Bharu sendiri.....

Cian kat Tok Guru....mungkin Tok Guru tak tahu hal di seluruh Kelantan sebab asyik berkitab sahaja....

Cian kat Ina menjadi mangsa buas "haruan makan anak"

Puakumbu.....amat bersimpati....

YANG GAMBI berkata...

Salam bro,

Sedis kawan........

Kelantan Nicky Ajis dah wartakan serambi Mekah, mana dia nak ambik tahu menda-menda macam ni.....