BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 3 Julai 2009

Konsep Sama Rata Pakatan Pembangkang Senjata Makan Tuan

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Luahan rasa tidak puas hati oleh beberapa pihak dalam DAP, PKR dan PAS kebelakangan ini menyerlahkan keadaan kerapuhan dalam ikatan hubungan antara parti-parti dalam pakatan pembangkang itu.

Mungkin ada pihak berpandangan bahawa suara-suara yang kedengaran di negeri-negeri di bawah pentadbiran parti pembangkang ini hanya sebahagian daripada proses untuk mereka saling mengenali antara satu sama lain dan tidak akan meruntuhkan kerjasama yang dijalin itu.

Namun bagi beberapa pemerhati politik, apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang berpunca daripada ketiadaan parti yang dominan bagi menentukan hala tuju gabungan itu.

Keadaan itu kata mereka menyebabkan setiap parti dalam pakatan bertindak seperti "enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing" sekali gus menggugat kerjasama ketiga-tiga parti berkenaan.

Pensyarah Kanan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian, berkata ketiga-tiga parti itu cuba mendapatkan kedudukan yang sama iaitu sebagai parti yang memimpin.

"Dalam BN (Barisan Nasional) Umno adalah parti yang dilihat dominan berasaskan demografi dan sejarah, tetapi dalam pakatan tidak ada yang dominan, jadi mungkin masing-masing nak main peranan yang sama," katanya.

Daripada segi kepimpinan pula, Dr Sivamurugan berkata pada masa ini pakatan itu bergantung kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum.

"Namun ada persoalan dalam isu ini iaitu adakah Anwar diberi kebebasan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju pakatan itu, sedangkan setiap parti ada ideologi sendiri yang hendak ditegakkan.

"Dalam BN ada kapten (yang mengemudi kapal), tetapi dalam pakatan tak nampak, melainkan mereka bersetuju setiap negeri yang ditadbir mereka dipimpin mengikut ideologi parti yang mendominasi," katanya.

Akan tetapi, menurut pensyarah Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin pula, adalah sukar untuk pakatan melaksanakan konsep dominan seperti yang diamal oleh BN.

Ini kerana, katanya, pakatan terbina berasaskan konsep adil, iaitu setiap parti berkongsi kuasa secara sama rata.

"Isu yang dibawa oleh pakatan ialah (menentang) ketidakadilan, jadi kalau ada memegang peranan pemimpin dalam gabungan itu, maka ini tentulah lari daripada konsep adil yang mereka bawa itu.

"Hubungan dalam pakatan ini mesti menunjukkan "fair and square" sebab masyarakat masa pilihan raya umum dulu dikatakan tolak BN sebab Umno terlalu dominan," kata Shaharuddin, pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM kampus Shah Alam.

Katanya ketiadaan parti yang dominan akan menyebabkan percanggahan memandangkan masing-masing masih dengan ideologi parti masing-masing.

"Memanglah kalau dah tak ada yang dominan maka masing-masing kena berpegang kepada konsep musyawarah, iaitu berbincang sesama mereka," katanya.

Namun jika diamati perkembangan dalam pakatan pembangkang sejak kebelakangan ini, mungkin konsep musyawarah itu hanya di atas kertas seperti yang dibuktikan oleh Pas apabila membelakangkan dua sekutunya dengan bercadang untuk duduk semeja bersama Umno berbincang mengenai perpaduan.

Sekalipun isu itu diselesaikan menerusi satu mesyuarat tergempar antara ketiga-tiga parti, yang jelas ia meninggalkan kesan kepada pakatan sehingga terpaksa menganjurkan perhimpunan untuk menunjukkan mereka masih teguh.

Selain itu pemimpin-pemimpin mereka juga khususnya daripada Pas membuat kenyataan demi kenyataan bahawa ia semua mainan Umno untuk memecah-belahkan mereka.

Hakikatnya, kata pemerhati politik, Pas menyampaikan mesej tersirat iaitu mereka tidak memerlukan DAP untuk mendapat sokongan rakyat seperti di Kelantan dan Kedah.

Pentadbiran Pas di Kelantan dan Kedah juga membuktikan kerajaan yang didominasi satu parti lebih stabil berbanding di Selangor dan di Pulau Pinang yang menyaksikan ketiga-tiga parti sering bertelingkah mengenai isu pengagihan kuasa.

Mengulas mengenai keutuhan pakatan pembangkang, Shaharuddin berkata ketiga-tiga parti itu masih belajar untuk bekerjasama dan akan mengambil masa untuk benar-benar mencapai persefahaman.

"Usia mereka masih mentah, baru berapa bulan. Harus diingat BN pun mengambil masa puluhan tahun untuk sampai ke peringkat kerjasama yang ada sekarang," katanya.

Sivamurugan dari USM pula berpendapat bahawa adalah sukar untuk pakatan pembangkang mengukuhkan kerjasama mereka dalam masa yang singkat memandangkan setiap parti masih dibarisi pemimpin generasi lama yang terikat dengan ideologi parti masing-masing.

"Mungkin pada masa depan apabila parti-parti ini telah dipimpin generasi baru, mereka boleh mencari persefahaman dan lebih bertoleransi," katanya.

Merumuskan pandangan kedua-dua ahli akademik itu, barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pakatan pembangkang terperangkap dengan kata-kata sendiri untuk memperjuangkan hak sama rata tetapi pada masa yang sama juga menuntut 'kuasa' sesama sendiri.

POYOSEDE COMMENT :

Ha baru mereka tau bukan senang untuk memerintah, bercakap memang senang, nak adil , kesamarataan,now apa sudah jadi? Inilah akibatnya kalau terlalu bongkak dan sombong dan suka mengkritik orang , PAS dah terperangkap dalam jerat yang dipasang sendiri...

0 ulasan: